Monday, October 26, 2009

Ramalan gajet 2010

Apakah gajet atau teknologi yang dijangka meraih perhatian dunia pada tahun depan?

TELEFON 4G dikatakan mempunyai keupayaan menghantar dan menerima data pada kelajuan yang belum pernah dirasai sebelum ini. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan lebih daripada 10Mbps dengan purata kelajuan di antara 3 hingga 6Mbps.

SYARIKAT yang berteraskan teknologi hari ini tidak boleh lagi bergantung kepada kejayaan semalam. Pilihan yang ada cuma dua, sama ada tenggelam atau meneruskan renangan dalam dunia teknologi yang bergerak pantas. Produk baru untuk tahun baru harus sentiasa dititikberatkan.

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum kita memasuki tahun 2010. Ada antara teknologi yang sedang dibangunkan diharap dapat dipasarkan sebelum penghujung 2010. Ambil contoh teknologi kamera digital pintar yang sedang dibangunkan oleh Hewlett-Packard. Ia dikatakan mampu membuat terjemahan imej yang diambil kepada beberapa bahasa.

Telefon Motorola

Ciri ini amat berguna untuk mereka yang sering ke luar negara. Jika bahasa yang digunakan pada papan tanda jalan tidak difahami, anda cuma perlu menghalakan lensa kamera ke arah papan tanda tersebut dan menekan butang alih bahasa. Kemudian kamera tersebut akan memberitahu mesej yang tertulis kepada bahasa yang kita fahami.

Telefon bimbit yang bukan sekadar berfungsi sebagai telefon sahaja diramal akan semakin bertambah menjelang 2010. Motorola dilapor bakal mengeluarkan telefon bimbit yang mampu memberikan pengalaman seumpama teater rumah dengan sistem bunyi surround. Telefon tersebut dikatakan mampu memuat turun video berdefinisi tinggi. Selain dilengkapi dengan projektor mikro membolehkan tayangan filem dipaparkan pada permukaan rata.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABD. RAHMAN
rencana@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment